SaveME 999 DEAF

Aplikasi ini direka khusus bagi penduduk Malaysia yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan sahaja. Pengguna perlu mempunyai nombor pendaftaran OKU (Orang Kurang Upaya) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bagi kumpulan pengguna ini, aplikasi SaveME 999 DEAF berfungsi sebagai satu alat bagi mereka menghantar permohonan bantuan kecemasan melalui saluran tanpa suara. Aplikasi ini menggunakan kemudahan internet jalur lebar bagi menghantar permohonan kecemasan. Ia juga menggunakan Global Positioning System (GPS) bagi menentukan kedudukan pengguna. Pengguna boleh mengaktifkan aplikasi ini dengan menekan ikon ‘SaveME 999 DEAF’ pada skrin telefon pintar. Apabila permohonan bantuan kecemasan dibuat, alamat GPS, maklumat pendaftaran pengguna dan jenis kecemasan akan dihantar ke Pusat Panggilan Kecemasan 999. Maklumat tambahan berkenaan insiden dan lokasi kejadian juga boleh ditambah ke dalam permohonan yang dihantar. Semua maklumat ini akan dapat membantu pihak agensi kecemasan bagi menghantar bantuan dengan lebih cepat dan tepat.

Aplikasi SaveME 999 DEAF pasti akan memberi manfaat kepada pengguna dengan menyediakan perkhidmatan di seluruh negara serta merangkumi semua jenis bentuk insiden kecemasan.